Mayat Kim Chol masih ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara, HKL. foto MOHD HAZROL ZAINAL,

PUTRAJAYA – Mayat Kim Jong-nam masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, mayat Jong-nam masih di bawah pemerhatian pihaknya sehingga menerima arahan baharu daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.

“Saya akan dapatkan maklumat daripada Jabatan Forensik jika ada permintaan supaya mayat itu dikeluarkan.

“Tetapi setakat yang kami tahu, status quo masih belum berubah. Mayat Jong-nam masih di HKL. Kita akan simpan mayat itu sehingga satu penyelesaian holistik dicapai,” katanya pada sidang akbar selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Kementerian Kesihatan di sini.

Ditanya tentang dakwaan sebuah keranda yang dipercayai menempatkan mayat Jong-nam dibawa semula ke HKL selepas dibawa ke pusat pembakaran di Cheras, Dr. Subramaniam berkata, ia adalah benda yang baharu diketahuinya.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di balai berlepas klia2 pada 13 Februari lalu oleh dua wanita menggunakan agen saraf VX.

Dua wanita itu telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh. – MalaysiaGazette