Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bercakap pada sidang media selepas menyambut kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang pulang oleh Pyongyang di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2017.

SEPANG – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Koraa Utara menandakan berakhirnya konflik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang.

Anifah dalam satu sidang media awal hari ini turut berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas usaha gigih beliau dalam memastikan rundingan membawa pulang kesemua rakyat berjaya.

“Saya rasa syukur setelah kesemua mereka pulang ke tanah air dengan selamat. Daripada isu ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji kepada pekerja kedutaan untuk membawa mereka pulang dan akan buat apa sahaja.

“Hari ini, janji itu telah ditunaikan perdana menteri yang telah melibatkan diri dan mengikuti segala perkembangan mengenai isu ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana meletakan kepercayaan kepada Kementerian Luar berhubung isu ini dengan membuat rundingan dengan Korea Utara,” katanya dalam sidang media di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sembilan rakyat Malaysia termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi selamat tiba di tanahair tepat jam 5.-5 pagi tadi.

Penerbangan terus dari Pyongyang itu mendarat di Kompleks Bunga Raya itu disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman manakala ahli keluarga diminta menunggu di bilik khas.

Kesemua mereka terdiri daripada Pembantu Peribadi Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29; suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir); Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, (Kaunselor), isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynor Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3 tahun.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang 11 rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, yang menyebabkan Kuala Lumpur mengambil tindakan serupa terhadap rakyat Korea Utara di Malaysia.

Namun, dua rakyat Malaysia yang bertugas dengan Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengikuti kursus WFP di Pyongyang, dibenarkan meninggalkan negara itu pada 9 Mac lepas menggunakan laluan Beijing, China. – MalaysiaGazette.