Najib Razak

CHENNAI – Kerajaan akan melancarkan satu pelan tindakan baharu khusus untuk memastikan kemajuan masyarakat India, bulan depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, inisiatif baharu itu bertujuan mengimbangi pembangunan kaum India bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam agenda transformasi negara.

Katanya, satu mekanisme khusus akan diwujudkan bagi memastikan kejayaan pelan tindakan itu kelak.

“Ini bukan satu retorik semata-mata sebab kita ada sasaran tertentu dan menetapkan satu jangka masa untuk menjayakan pelan tindakan itu,” katanya pada sesi bersama pelajar dan komuniti Malaysia di Chennai, Jumaat.

Kira-kira 200 diaspora Malaysia di Selatan India hadir pada pertemuan itu yang diadakan sempena lawatan rasmi enam hari perdana menteri ke India yang bermula semalam. – Bernama