Gambar hiasan

PULAU PINANG – Seperti dijangka, kesemua 13 Kawasan Pas di negeri ini sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan politik atau tahaluf siyasi dengan PKR negeri ini.

Terbaharu dan juga kawasan terakhir membuat keputusan itu adalah Pas Kawasan Tanjung yang mengadakan mesyuarat agung tahunannya di sini semalam.

Yang Dipertua Pas Tanjung, Yaacob Omar berkata, keputusan itu selari dengan 12 kawasan Pas lain di negeri ini yang turut secara sebulat suara mengusulkan supaya tiada lagi kerjasama politik dengan PKR.

Menurut beliau, keputusan Pas Tanjung itu disebabkan PKR gagal membela dan mempertahankan Islam di negeri ini apabila mendakwa wujud campur tangan dalam urusan pemfatwaan.

Dakwanya, campur tangan itu juga menyebabkan terdapat fatwa yang dilengahkan malah ditangguhkan sedangkan wakil PKR dalam kerajaan negeri merupakan Exco berkaitan agama Islam.

“PKR juga dengan jelas menurut telunjuk DAP dan memberi komitmen lebih besar kepada parti itu serta PAN yang sehingga kini berterusan menyerang Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dengan keputusan Pas Tanjung itu, kesemua 13 kawasan Pas Pulau Pinang kini secara tidak formal tidak lagi mempunyai sebarang kerjasama politik dengan PKR negeri ini.

Usul itu juga dijangka dibawa untuk dibahaskan Pas Pulau Pinang dalam muktamar parti tersebut yang akan berlangsung pada 28 April hingga 1 Mei ini di Kedah.

Kawasan Pas yang meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sebelum ini adalah Batu Kawan; Bagan; Nibong Tebal; Permatang Pauh; Bayan Baru dan Bukit Bendera.

Turut berbuat demikian adalah Pas Kawasan Balik Pulau; Jelutong; Kepala Batas; Tasek Gelugor; Bukit Mertajam dan Bukit Gelugor.

Beberapa kawasan Pas di negeri lain setakat ini khususnya di Selangor dan Terengganu turut membuat keputusan sama dalam mesyuarat agung kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette