KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lengang minggu depan, dengan pelabur berkemungkinan mengambil sikap tunggu dan lihat kerana menantikan pemangkin baharu, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata sentimen juga kekal berhati-hati dengan ringgit serta pergerakan harga minyak mentah global yang kukuh.

“Harga getah mungkin naik sedikit pada akhir minggu setelah terdapat petunjuk baharu dan juga mengikut pergerakan di pasaran niaga hadapan serantau,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran didagangkan kebanyakannya tinggi seiring dengan Bursa Komoditi Tokyo serta pergerakan ringgit dan minyak mentah.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 susut 30.5 sen kepada 798.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan 36.5 sen kepada 671.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga akhir tidak rasmi SMR 20 susut 66 sen kepada 757 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 32.5 sen kepada 673.5 sen sekilogram. – MalaysiaGazette