Tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak hilang dipercayai tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Sungai Labau, Sook dekat sini tengah hari semalam.

KENINGAU – Tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak hilang dipercayai tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Sungai Labau, Sook dekat sini tengah hari semalam.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Keningau dan Tenom Staf Muda Bakri Isin mangsa yang hilang merupakan dua remaja perempuan masing-masing berumur 17 tahun, dua remaja lelaki masing-masing 13 tahun dan tiga kanak-kanak masing-masing 8 tahun, kesemuanya dipercayai rakyat Filipina.

Beliau berkata Skuad Alpha APM Keningau menerima panggilan daripada Balai Polis Keningau memohon bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, polis menerima aduan daripada pengurus sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu yang mengatakan tanah runtuh itu berlaku kira-kira 12.19 tengah hari dan turut menghempap rumah pekerja ladang kelapa sawit berkenaan.

Foto APMFoto APM

“Rentetan daripada panggilan (Balai Polis Keningau) itu, anggota APM Keningau yang bertugas bergegas ke lokasi kejadian.

“Pada awalnya, pengadu mengatakan terdapat 11 orang hilang. Tetapi setibanya anggota APM di lokasi, pengadu memaklumkan empat mangsa (daripada 11) berjaya diselamatkan,” katanya.

Bakri berkata sebuah jambatan yang menjadi penghubung jalan ke lokasi kejadian mengalami kerosakan dan laluan alternatif sedang dikenal pasti.

Turut menyertai operasi itu ialah empat anggota dari Balai Polis Kinabatangan dan dua pegawai serta lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

Foto APM

Foto APM

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tongod dan Telupid Staf Muda Adrian Dauli berkata pihaknya turut memantau kes tersebut memandangkan tempat kejadian berhampiran dengan Sungai Milian dalam daerah Tongod.

“Kami telah menggerakkan logistik dan aset APM Tongod dan Telupid dengan lima anggota kira-kira 10.30 pagi tadi untuk memberi kekuatan tambahan kepada operasi itu,” katanya.  – BERNAMA