Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V membaca titah pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengisytiharkan 24 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara, bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri yang berkenaan diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sultan Muhammad V dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Selasa, 13 Disember 2016 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember 2016.

“Sehubungan itu, kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-15 akan mengadakan dua acara utama sempena pertabalan baginda.

“Istiadat Pertabalan akan diadakan pada pagi hari Isnin, 24 April bertempat di Balairung Seri, Istana Negara manakala, pada sebelah malam diadakan Majlis Santapan Diraja di Dewan Santapan, Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu dua acara lain akan turut diadakan pada 20 April ini iaitu majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat bertempat di Masjid Putra, Putrajaya disusuli Pameran Raja Kita pada hari Selasa, 2 Mei di Muzium Diraja (Istana Negara lama). – MalaysiaGazette