KUALA LUMPUR – Tiada lagi penjualan tanah dalam kawasan Tun Razak Exchange (TRX) bagi tempoh dua hingga tahun akan datang sehingga infrastruktur bagi pembangunan bercampur di lokasi tersebut siap.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib, terdapat dua alasan mengapa penjualan baki tanah tersebut ditangguhkan.

Pertama, bagi membolehkan akses lebih mudah dan pantas kepada pembinaan infrastruktur dalam lingkungan kawasan berkenaan dan keduanya adalah untuk membuka nilai hartanah tersebut kepada premium yang lebih tinggi pada masa depan.

“Kami mahu baki tanah yang masih ada di TRX untuk memudahkan pembangunan infrastruktur,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media ke projek Lendlease di Australia baru-baru ini seperti yang dilaporkan The Star.

TRX City merupakan pemaju utama projek yang kini di bawah pemantauan Kementerian Kewangan Diperbadankan selepas diambil alih daripada 1Malaysia Development Bhd.

“Kami percaya selepas semua infrastruktur siap, kami boleh mendapatkan premium yang lebih tinggi kepada tanah tersebut,” katanya lagi.

Sehingga kini, 60 peratus daripada 70 ekar tanah TRX telah dijual atau ditanda bagi tujuan pembangunan.-MalaysiaGazette