Bank rakyat
Gambar fail: Tan Sri Shukry Mohd Salleh (kiri) bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada Zulkiflee Abbas Abdul Hamid terhadap perlantikan beliau sebagai Pengarah Urusan Bank Rakyat. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 3 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid hari ini dilantik sebagai Presiden dan Pengarah Urusan Bank Rakyat baharu, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan tersebut dibuat oleh Pengerusinya tersebut, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dalam satu sidang media khas di Menara Bank Rakyat.

“Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Datuk Zukiflee Abbas Abdul Hamid sebagai Pengarah Urusan/Presiden berkuatkuasa hari ini.

“Bank Rakyat yakin dengan pelantikan ini bakal menjadikan Bank Rakyat sebagai bank koperasi Islam yang berprestij bertepatan dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau dalam pengurusan kredit, perbankan perusahaan dan perbankan korporat,” kata Shukry.

Dengan pelantikan itu, Shukry juga mengumumkan Bank Rakyat bakal membubarkan Lembaga Jawatankuasa Pemantauan yang ditubuhkan sebelum ini untuk melancarkan tabdir urus bank pada ketika jawatan tersebut masih tidak diisi.

“Justeru dengan pelantikan pada hari ini, jawatankuasa tersebut akan dibubarkan dalam tempoh waktu yang akan dipersetujui lembaga pengarah Bank Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Zulkiflee semasa ditanya berhubung pelantikan hari ini berkata, beliau akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum menyatakan rancangan masa depan Bank Rakyat.

“Bagi saya peluang untuk meneroka apa yang ada dalam Bank Rakyat, kemudiaan baru saya akan dapat beri rancangan strategi yang lebih komprehensif,” kata Zulkiflee semasa ditanya wartawan dalam sidang media sama.

Sebelum pelantikan ini, Zulkiflee merupakan Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Affin Bank pada 2009 sehingga 2015.

Beliau juga berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa industri sebagai ahli dan pengerusi, termasuk sebagai Ahli Majlis Persatuan Bank-Bank Malaysia serta Pengerusi Jawatankuasa Audit Malaysian Electronic Payment System (MEPS).

Selain berkhidmat dalam industri perbankan,beliau turut menyumbang kepakarannya kepada masyarakat dengan memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Penasihat Insaniah Global Centre bagi perbankan dan Islam dan kewangan, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Budiman UiTM dan Bendahari Tabung Pendidikan 1 Bilion.

Beliau memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pemasaran yang kedua-duanya daripada Southern Illinois University Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette