R. Vidyananthan

JOHOR BAHRU – Johor memerlukan ramai tenaga kerja terutama dalam bidang kemahiran, namun golongan belia lebih gemar memilih pekerjaan mudah dan selesa walaupun hanya ditawarkan gaji rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan berkata, sebenarnya terdapat pelbagai peluang pekerjaan mendapat permintaan tinggi, misalnya di Pengerang, Kota Tinggi, yang memerlukan tenaga berkemahiran seperti jurukimpal, jurutera dan pendawai.

“Namun, golongan muda lebih suka memilih bidang kerja yang mudah kerana tidak mahu bekerja di bawah panas terik matahari…mahu bekerja dengan selesa di bawah penghawa dingin walaupun ditawarkan gaji rendah.

“Pemikiran golongan itu menjadi cabaran cukup besar kepada kerajaan negeri untuk diubah. Kerja mengubah persepsi ini bukanlah mudah, tetapi kita tidak akan menyerah dan ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kembara Kerjaya Johor Berkemahiran 4.0 2017 di Kilang Bateri, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Vidyananthan berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada pihak sekolah bagi mempromosi sektor kemahiran sebagai bidang yang boleh menjamin masa depan dengan kerjaya yang tetap dan gaji lumayan.

“Kita tidak hanya menumpukan golongan belia tetapi mereka yang masih belajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) misalnya, agar mereka ini bila keluar daripada sekolah tahu arah tuju dan ada peluang pekerjaan di dalam negeri.

“Kita juga mendapat kerjasama daripada kaunselor-kaunselor sekolah untuk membantu anak-anak murid mereka yang tidak tahu arah tuju agar mencuba bidang kemahiran kerana kita tidak mahu bakat-bakat di dalam negeri kita beralih ke negeri-negeri lain,” katanya.

Setakat ini, Vidyananthan berkata, 1,194 individu mendapat penempatan dalam pekerjaan manakala 2,169 lagi berminat mengikuti kursus kemahiran.

“Selain itu, 156 telah bertanya tentang peluang keusahawanan yang ditawarkan dan 852 berminat menjadi sukarelawan,” katanya.

Pada Kembara Kerjaya kali ini, 20,412 pengunjung hadir sepanjang penganjuran program itu yang berlangsung selama lima hari.

Program kali ini melibatkan 41 agensi terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan serta swasta, dan merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, perhotelan, perabot dan hartanah. – Bernama