Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mendesak supaya mendedahkan ‘dalang’ yang cuba menggagalkan Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah atau RUU 355.

Kit Siang berkata, Presiden Pas itu perlu bercakap benar jika tidak mahu dilihat sebagai pemimpin politik tidak bertanggungjawab yang hanya tahu membuat tuduhan tidak berasas.

“Abdul Hadi perlu menamakan ‘dalang’ yang menghalang rang undang-undang persendiriannya jika beliau tidak mahu dilihat sebagai pemimpin politik tidak bertanggungjawab yang membuat tuduhan tidak berasas.

“Siapakah ‘dalang’ ini sehingga boleh membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan bahawa kerajaan tidak mahu mengambil rang undang-undang persendiriannya itu?” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mahu tahu parti mana sebenarnya menjadi ‘dalang’ tersebut.

“Adakah dalang ini daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Pas sendiri?” katanya yang menanti jawapan daripada Abdul Hadi berhubung dakwaannya tersebut.

Pada November tahun lalu, Presiden Pas itu membawa usul yang bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU 355 diuar-uarkan akan diambilalih oleh kerajaan daripada Abdul Hadi bagi memudahkan ia dibentang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun pada 29 Mac lalu, Najib mengumumkan pembatalan rancangan berkenaan kerana mennghormati semangat kebersamaan dan kesepakatan dalam BN.

Minggu lalu Abdul Hadi berkata, beliau tahu dalang yang cuba menghalang pembentangan RUU355 namun PAS bersedia menghadapi rintangan dan halangan itu. – MalaysiaGazette