KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd. Manap menempelak kenyataan Salahudin Ayub yang menuding jari kepada Perdana Menteri ekoran tindakan polis menarik balik permit kelulusan debat Tun Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz.

Menurut Anuar, dakwaan yang dibuat Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu satu fitnah.

“Kalau mahu ‘telanjangkan’ maklumat dan dedah isu (kerajaan) buat apa nak tunggu time ada debat. Media di Malaysia ini ada banyak, kenapa tak gunakan?

“Jangan ingat isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sahaja yang akan diperdebatkan di dalam debat berkenaan. Banyak isu lain lagi termasuk isu skandal forex
30 tahun dahulu pun akan dibangkitkan sama,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Salahudin yang mendakwa permit itu ditarik balik kerana ia arahan Datuk Seri Najib Razak yang takut kesalahan kerajaan ‘ditelanjangkan’ oleh Mahathir menerusi debat berkenaan.

Tambah Anuar, tindakan Salahuddin mengeluarkan kenyataan tersebut itu juga adalah modal yang sama digunakan pembangkang untuk menjatuhkan Najib.

“Isu (kaitan dengan Najib) adalah idea pembangkang yang ketandusan isu. Mereka asyik mainkan isu yang sama sahaja,” katanya.

Debat antara Nazri dan Mahathir yang sebelum ini dirancang pada 25 Mac lalu telah ditunda kepada 7 April di Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, ia dibatalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam setelah mendapat arahan daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat petang Sabtu lalu. – Malaysia Gazette.

Salahuddin dakwa PM sendiri arah batal debat