Keadaan Abdul Halim yang masih tidak sedarkan diri ketika dirawat di HUSM

KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman yang dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Wakil rakyat itu diserang angin ahmar ketika memandu kereta pulang ke rumahnya di Chetok, Pasir Mas dari Kota Bharu.

Bagaimanapun, sebaik sampai di kawasan Tunjong, dekat Kota Bharu kira-kira jam 9 pagi, beliau dikatakan tiba-tiba berasa sakit dan menghentikan kereta di tepi jalan.

Menurut isterinya, Noraini Md. Ali Matar, sebelum kejadian, suaminya dalam perjalanan menghantar anak ke Kolej Islam Sains Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAST) di Nilam Puri, Kota Bharu.

Abdul Halim Abdul Rahman
Abdul Halim Abdul Rahman

“Dalam keadaan sakit, dia sempat menghubungi anak dan memberitahu keadaannya, sebelum anak bergegas ke tempat itu dan terus membawanya ke hospital (HUSM).

“Doktor memaklumkan, dia mengalami strok di sebelah kanan badan,” katanya yang turut mengesahkan Abdul Halim juga menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Sehingga petang ini, kata Noraini, suaminya masih belum sedarkan diri dan terdapat pendarahan dalam kepala. – MalaysiaGazette