Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghalang debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atas sebab-sebab keselamatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata keputusan untuk melarang debat itu adalah kerana ia disifatkan sebagai tidak berperlembagaan dan polis bertindak mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang.

“PDRM hanya menggunakan bidang kuasanya mengikut Seksyen 3(3) Akta Polis 1967, yang menjadi teras kepolisan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan Selasa.

Seksyen 20(3) akta itu, memberikan kuasa budi bicara kepada polis untuk menjalankan tugas-tugas seumpama itu demi kepentingan awam.

“Keputusan untuk menghalang debat itu dibuat selepas mengambil kira bahawa sekiranya acara itu dibenarkan diadakan, ia akhirnya boleh mencetuskan gangguan dan ketidaktenteraman awam berikutan wujud kebimbangan dari segi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu terbukti dengan pelbagai bantahan diterima berkaitan cadangan debat itu.

Beliau berkata apabila budi bicara bermaksud tidak memberi kebenaran, ia perlu difahami bahawa polis menggunakan kuasa yang ada padanya berdasarkan pertimbangan sewajarnya.

“Oleh itu, untuk mengatakan bahawa polis telah secara tidak langsung menghalang kebebasan bersuara adalah tidak rasional,” katanya.

Khalid berkata seseorang itu perlu mengkaji dengan teliti dan memahami intipati penghakiman di mahkamah rayuan dalam kes pendakwa raya lawan R. Yuneswaran berdasarkan petikan – “Ditetapkan dalam undang-undang jurisprudens bahawa hak bagi satu kumpulan warganegara tidak boleh menghapuskan hak orang lain”.

“Oleh itu ia bukan soal salah guna kuasa, tetapi tugas polis untuk melaksanakan kuasa budi bicaranya, yang dilakukan dengan niat baik dan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Debat antara Tun Dr Mahathir dan Mohamed Nazri di Kompleks Karangkraf, Shah Alam dijadual pada 7 April telah dibatalkan demi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff pada Ahad (2 April) berkata setakat ini sebanyak 18 laporan polis telah diterima daripada orang ramai yang membantah debat itu.

— BERNAMA