KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Moscow sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti warga negara Malaysia di St. Petersburg bagi memastikan tiada warga negara Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya hari ini berkata, warga negara Malaysia di St. Petersburg yang terjejas akibat insiden itu dan memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 5017192 Moscow.
Mereka juga boleh menghubungi di talian +7 495 419 9898 /+7 495 419 9899 atau e-mel [email protected] juga Wisma Putra di talian 03-8887 4570 (selepas waktu bekerja) dan 03-8887 4530.
Kementerian Luar Negeri mengucapkan takziah dan simpati ke atas pihak keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam insiden itu.
Letupan kereta api bawah tanah di St. Petersburg, masing-masing berlaku di Stesen Sennaya Ploschad dan Stesen Tekhnologichesky Institute pada 3 April 2017 pukul 2.30 petang waktu tempatan.
Laporan awal mengesahkan 10 terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 orang cedera.
Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan proses pengecaman ke atas mangsa-mangsa yang terlibat. – MalaysiaGazette
















