Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR –┬áSatu pertemuan akan diadakan bersama Ketua Hakim Negara baharu, Tan Sri Md Raus Sharif bagi membincangkan penubuhan Mahkamah Jenayah Khas yang membicarakan kes jenayah seksual kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mahkamah tersebut perlu diwujudkan sebagai pelengkap usaha menangani isu jenayah seksual.

“Mahkamah Jenayah Khas ini penting untuk memastikan prosiding dan perbicaraan kes melibatkan kanak-kanak dapat dijalankan dengan lebih cepat dan lancar.

“Mahkamah ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak yang sedia ada yang hanya mengendalikan kes-kes yang mana pelaku jenayah adalah kanak-kanak sahaja (tidak melibatkan penjenayah dewasa atau tua),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bagi memastikan kelancaran penubuhan Mahkamah Jenayah Khas, majistret, hakim dan pendakwa raya akan diberi latihan khusus dalam mengendalikan jenayah seksual kanak-kanak.

“Sehubungan itu saya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim negara yang baharu, Tan Sri Md. Raus Sharif bagi membincangkan penubuhan Mahkamah Jenayah Khas ini.

“Saya percaya pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki dapat terus memartabatkan institutsi kehakiman dan perundangan negara,” tambah beliau.

Sementara itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengesahkan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan Parlimen hari ini setelah dibahaskan selama dua hari.

Beliau menyatakan keterujaan dengan penglibatan begitu ramai Ahli-Ahli Parlimen dalam sesi perbahasan, sama ada di peringkat dasar mahupun jawatankuasa.

Katanya, kerajaan sentiasa terbuka mendengar pendapat daripada semua pihak bagi memastikan Rang Undang-Undang ini digubal secara komprehensif dan mampu melindungi kanak-kanak daripada pelaku jenayah seksual tanpa mengira usia. – MalaysiaGazette