PETALING JAYA – Bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim hari ini mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk berdebat bagi membuktikan dakwaan parti pembangkang tersebut tidak diperintah dan dikawal oleh seorang diktator.
Tunku Abdul Aziz berkata, Kit Siang akan berterusan menafikan dirinya seorang diktator walaupun hakikatnya sudah menguasai DAP itu selama 51 tahun.
“Saya tahu Kit Siang akan berterusan menafikan fakta bahawa dia seorang diktator dan akan bercakap hiprokrit mengenai demokrasi.
“Oleh sedemikian saya mencabar Kit Siang berdebat dengan tajuk cadangan ‘DAP adalah diperintah dan mengekalkan amalan diktator’,” kata beliau dalam satu sidang media di sini pagi tadi.
Tunku Abdul Aziz juga membidas Kit Siang supaya tidak berpura-pura dengan menafikan dirinya seorang diktator walhal realitinya beliau bijak mengambil kesempatan semata-mata demi kuasa.
“Jika Pakatan Harapan menang, Kit Siang akan cepat mengambil kesempatan dan akan cuba menguasai ‘permata’ di dalam Pejabat Perdana Menteri.
“Beliau akan buat perkara sama semasa pilihan raya umum ke-12 lalu apabila meletak anaknya (Lim Guan Eng) dalam slot Ketua Menteri sehingga mengejutkan ahli-ahli DAP Pulau Pinang,” katanya.
Tunku Abdul Aziz juga berkata sudah masak dengan sikap diktator Kit Siang dan mengetahui caranya menakluk kuasa.
“Saya sudah mengkaji dengan cukup untuk memahami diktator ini, seorang genius yang hanya mahu menakluk kuasa. Sebaik beliau menakluk kuasa, dia tidak akan lepaskannya,” katanya lagi.
Ini bukan kali pertama Kit Siang diajak berdebat, terdahulu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa juga melontarkan hasrat sama untuk berdebat dengan Kit Siang.
Annuar juga sudah mengesahkan persetujuan untuk berdebat, bagaimanapun Kit Siang masih berdiam diri tanpa sebarang jawapan.
Bulan lalu di Parlimen, Annuar mengulangi kata-katanya bahawa Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan diktator politik sambil mencabar penasihat DAP itu mendakwanya di mahkamah jika apa yang disebutkan itu tidak benar. – MalaysiaGazette
















