Tan Sri Annuar Musa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit dada dan muntah-muntah.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima rawatan sejak dua hari lalu.

Annuar dalam laman facebooknya berkata, beliau bagaimanapun dinasihatkan supaya berehat selema beberapa hari sebelum kembali bertugas seperti biasa.

“Alhamdulillah, doktor membenarkan saya pulang dan berehat di rumah setelah beberapa hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan IJN Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah Ujian-ujian yang dijalankan termasuk prosedur Angiogram yang dijalankan dua hari lalu oleh doktor pakar di IJN mengesahkan kesihatan saya semakin baik,” katanya.

Annuar di masukkan ke wad CCU HUSM pada Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada, sakit kepala dan muntah-muntah sejurus menunaikan solat subuh di rumahnya di Seri Puri, Bukit Marak di sini.

Kelmarin, beliau dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan selepas dibenarkan keluar dari CCU HUSM.

Sehubungan dengan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang membantunya.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah HUSM serta pasukan doktor dan staff HUSM, Pakar Jantung IJN, Datuk Dr. Bala dan pasukan Doktor dan staf IJN, pihak MAS, serta saudara mara ,sahabat handai dan rakyat yang menziarahi dan yang mendoakan kesihatan saya.

“Saya juga pohon maaf atas larangan melawat yang dikenakan oleh hospital semasa di CCU untuk memberi ruang kepada proses pemulihan saya,” katanya.- MalaysiaGazette