Sebahagian ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia cawangan Rembau isytihar keluar parti malam semalam.

REMBAU – Berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sekumpulan penyokong dan pengasas di Rembau, Negeri Sembilan bertindak keluar parti.

Seramai 500 orang bekas ahli yang diketuai oleh Mohd. Anas Sudin membuat keputusan tersebut ekoran hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan mengamalkan kronisme.

“Berikutan keputusan keluar parti beramai-ramai ini, saya boleh katakan PPBM Rembau lumpuh 99 peratus. 

“Jawatankuasa pun tiada lagi. Di Bahagian Rembau, ada 2,000 ahli dan 1,500 lagi akan keluar parti dalam masa terdekat,” 

Selain kepimpinan Muhyiddin yang mengamalkan kronisme, hala tuju parti yang tidak jelas juga menjadi faktor kepada keputusan tersebut diambil.

Menurut Anas lagi, keputusan keluar parti itu juga diambil selepas mesyuarat pada 28 Mac lalu setelah mereka gagal mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan parti.

“Tun Mahathir tolak untuk hadir ke Rembau selepas saya jemput. Surat jemputan ditolak, kami pula ke Yayasan Perdana. Kami tak dapat jumpa Tun M, cuma jumpa Tun Siti Hasmah,” katanya.

Mohd Anas yang menyertai parti itu pada 10 Oktober tahun lalu berkata, surat keluar parti secara beramai-ramai itu bagaimanapun akan diserahkan kepada Ibu Pejabat PPBM dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette