Dr S. Subramaniam

KUALA LUMPUR– Parti komponen Barisan Nasional (BN) masih kekal dengan pendirian konsensus seperti diumumkan Perdana Menteri walaupun usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 dibentangkan oleh  Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Pemimpin komponen BN yang ditemui selepas penangguhan usul itu rata-ratanya masih kekal dengan keputusan yang sama yang mereka putuskan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum ini dimana pihak kerajaan tidak akan mengambil alih usul tersebut daripada Pas.

“Setakat apa yang kami tahu, kami masih mengikut keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat BN dan memandangkan speaker tidak membenarkan perbahasan jadi MIC tidak dapat berbahas sama.

“Jika speaker membuka laluan untuk pihak lain berdebat, kami pasti memberikan pandangan daripada sudut Perlembagaan dan mengikut sudut pandangan MIC,” kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam semasa ditemui di Parlimen.

Menjelaskan lebih lanjut, Subramaniam berkata, pihaknya sudah diberikan taklimat awal untuk membenarkan Abdul Hadi membentangkan usul persendirian tersebut tetapi pihak kerajaan tidak akan terbabit dalam langkah itu mahu pun menyokongnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula menyifatkan pembentangan usul ini masih belum lengkap.

“Saya melihat usul ini tidak lengkap, ia sekadar usul yang memberikan mereka laluan untuk membuat huraian,” Ka Siong.

Berhubung pendirian MCA, Ka Siong juga senada dengan mengatakan mereka akan kekal dengan pendirian sama dimana menolak pindaan undang-undang Islam yang cuba dibawa oleh Pas itu.

“Kami akan terus kekal dengan pendirian ini. Kami sudah meminta penjelasan, kami percaya kepentingan orang ramai perlu dibangkitkan supaya ia dapat dibincangkan dengan betul.

“Seperti yang sudah dibuat oleh Mesyuarat Tertinggi BN, kerajaan tidak akan mengambil alih RUU355 dan itu adalah keputusannya,” kata Ka Siong lagi.

Dalam pada itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan masih awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung pembentangan usul Abdul Hadi  tetapi menegaskan sebarang keputusan yang akan dibuat berdasarkan suara rakyat.

“Ia baharu dibentang, saya akan membuat keputusan berdasarkan suara rakyat di tempat saya,” katanya.

Usul dikemukakan Ahli Parlimen Marang itu mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.

Usul kekal menjadi usul peribadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan ia sebagai rang undang-undang kerajaan, atas dasar konsensus dalam BN.

Sidang mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal ke-5 Parlimen ke-13 berakhir hari ini. – MalaysiaGazette