Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kontrak Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia yang tidak akan dilanjutkan apabila tamat pada 2018 perlu dilihat secara positif kepada sukan permotoran di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana sebahagian perbelanjaan yang digunakan untuk menganjurkan F1 sebelum ini boleh disalurkan kepada program pembangunan akar umbi.

Beliau berkata, langkah itu merupakan berita baik kepada bakat sedia ada seperti pemandu profesional negara iaitu Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Akash Nandy pada masa akan datang.

“Pada masa sama, kerajaan berjanji tidak akan membiarkan Sepang International Circuit (SIC) sebagai gajah putih selepas ini kerana SIC kekal menganjurkan perlumbaan grandprix MotoGP yang memiliki pengikut yang di seluruh dunia selain perlumbaan antarabangsa lain seperti perlumbaan GT-Jepun.

“Selain itu, satu pengumuman akan dibuat nanti untuk mewujudkan satu litar selain di Sepang dan Tangkak, Johor selain di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pendaftaran Larian Obor KL2017 di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas langkah tidak lagi menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjuran mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penamatan kontrak itu terpaksa berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran sejak tahun 1999.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan membelanjakan RM300 juta setahun untuk F1 tetapi nilai pulangan untuk perlumbaan itu adalah kurang daripada apa yang dibelanjakan. – MalaysiaGazette