Tan Sri Pandikar Amin Mulia. foto SAFWAN MANSOR, 07 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekeras-kerasnya menafikan menerima arahan daripada Barisan Nasional (BN) berhubung penangguhan sesi perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“Saya tak peduli apa yang mereka kata. Yang penting ialah apa saya kata dan apa saya lakukan.

“Kerana apa mereka kata, termasuk pemimpin komponen (BN), adalah untuk kepentingan politik mereka. Mereka bertanding (pada untuk pilihan raya). Saya tidak
bertanding,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pandikar mengulas mengenai kenyataan Presiden MIC Datuk Seri Dr. S Subramaniam bahawa keputusan untuk menangguhkan perbahasan dibuat semasa mesyuarat majlis tertinggi BN sebelum ini.

Menurut Dr Subramaniam, keputusan itu dibuat bagi memberikan laluan kepada Pas untuk membentangkan pindaan RUU355.

Malah terdapat persetujuan bahawa ahli Parlimen tidak akan mengundi pada hari itu, kata Subramaniam.

Pandikar dalam pada itu berkata, beliau terpaksa untuk memberikan laluan kepada semua usul yang dibawa kerajaan agar diselesaikan terlebih dahulu sebelum usul persendirian mengambil tempat.

Ia mengakibatkan sesi Dewan Rakyat pada Rabu berakhir jam 5.05 pagi hari berikutnya.

“Oleh itu, apabila saya diberi kebebasan pada hari itu, saya mahu mengakhirinya awal,” katanya lagi.

Untuk rekod, RUU355 ditangguhkan sehingga Jun depan bagi sesi perbahasan dan pengundian oleh 222 Ahli Parlimen. -MalaysiaGazette