Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama President Islamic Conference Youth, H.E Ambassador Eishad Iskandarov (empat dari kanan) mengangkat plak yang diterimanya sebagai simbolik pelancaran Putrajaya sebagai ibukota Belia OIC (OIC Youth Capital 2017) di Dataran Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 08 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Golongan belia Islam hari ini boleh menjadi senjata untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam satu ketika dahulu.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah belia Islam mesti sedar tamadun Islam ketika ini adalah kumpulan tamadun yang ketinggalan jauh.

“Realitinya ukuran negara Islam dari segi kemajuan ekonomi kesejahteraan, inovasi dan pendidikan serta sains, tamadun Islam hari ini memang sudah jauh ketinggalan. Ia bukan lagi tanggapan, ianya relaiti.

“Tetapi dengan adanya kebangkitan anak muda Islam dan juga negara Islam yang menerokai sains, yang mempelopori serta menerajui kerja sukarelawan, kemasyarakatan, perkhidmatan kesihatan dan dunia Islam, ini menunjukkan mungkin kali ini generasi muda Islam mempunyai kebolehan untuk memulakan kebangkitan tamadun Islam,” kata Khairy.

Menurut Khairy, permulaan kepada negara Islam yang lebih baik juga perlu ditekankan di mana ianya bermula daripada kepimpinan pemimpin setiap negara tersebut.

“Negara Islam sering dicabar dengan kepimpinan yang diterajui negara tersebut.

“Kita harap tadbir urus yang baik akan menjadi satu perkara yang menjadi kebiasaan di kalangan negara Islam dalam memastikan orang muda Islam mendapat pendidikan, peluang dan kemahiran serta bakat untuk membawa perubahan yang dimaksudkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Putrajaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Youth Capital 2017 di Putrajaya malam ini.

Turut hadir Presiden Islamic Conference Youth Forum for Dialogue and Coorporation (ICYF-DC), Elshad Iskandarov.

Youth Capital dimulakan pada Perhimpunan Agung ICYF-DC kali kedua yang telah diadakan pada 9 hingga 11 Oktober 2014.

ICYF-DC meruapakan sebuah organisasi yang bergabung dengan OIC.

Lebih 50 organisasi mewakili negara anggota dan minoriti Islam di seluruh dunia telah hadir pada perhimpunan tersebut yang diadakan di Istanbul, Turki selaku negara OIC Youth Capital bagi tahun 2015/2016.

Menurut Khairy, Putrajaya telah terpilih menjadi salah satu bandar raya OIC Youth Capital bagi tahun 2017 bersama bandar Shiraz, Iran dan Fes Morocco.

“Malaysia adalah negara yang diharapkan untuk membawa tamadun Islam pada masa hadapan jika dibandingkan dengan dua bandar raya lain yang merupakan zaman kegemilangan Islam masa terdahulu. Putrajaya adalah bandar raya masa hadapan,” katanya. – Malaysia Gazette.