Orang ramai mengerumuni mayat Mohd. Atan Monadam yang dilanggar kereta selepas mangsa merempuh seekor babi di Kampung Parit Darat, Batu Pahat, pagi tadi.

BATU PAHAT – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor babi hutan sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Parit Raja Darat di sini pada 7.30 pagi ini.

Kejadian yang meragut nyawa penunggang motosikal itu berlaku semasa mangsa, Mohd. Atan Monadam, 52, dalam perjalanan menuju ke pekan Parit Raja, di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, semasa sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar seekor babi hutan yang sedang menyeberangi jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh dan kemudiannya sebuah kereta melanggar motosikal lelaki itu dan haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan namun dipercayai masih trauma.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.