Tertuduh, Nazri Che Lah, 44, yang hadir dengan berpakaian hospital menggangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

PULAU PINANG – Seorang pekerja kapal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Trafik, Georgetown di sini pagi ini atas pertuduhan menunggang secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki warga emas Khamis lalu.

Tertuduh, Nazri Che Lah, 44, yang hadir dengan berpakaian hospital menggangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Foo Swee Wah, 58, di Jalan Burmah di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 6 April lalu.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987 itu, dia boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dan didenda minimum RM5,000 atau maksimum RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Nurul Fatin memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung.

Bagaimanapun, dia merayu supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan pendapatan bulanannya hanya RM1,500 dan perlu menyara isteri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 29 Mei ini bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi Khamis lalu, Swee Wah, 58, maut dirempuh sebuah motosikal yang disyaki melanggar lampu merah ketika melintas laluan pejalan kaki di Jalan Burmah di sini.

Swee Wah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki akibat rempuhan kuat itu dan meninggal dunia pukul 8.45 malam hari sama.

Video kejadian itu yang menunjukkan mangsa tercampak selepas dirempuh motosikal berkenaan menjadi viral dan mencetuskan kemarahan pengguna media sosial. – MalaysiaGazette

Comments are closed.