Edgardo Bauza

BUENOS AIRES – Jurulatih Edgardo Bauza akhirnya ditunjukkan jalan keluar daripada skuad Argentina berikutan keputusan buruk pada aksi kelayakan Piala Dunia Rusia 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Claudio Tapia memberitahu, Bauza telah diarah meletak jawatan untuk menjadi jurulatih.

“Kami telah mencapai persetujuan bersama,” jelas Tapia selepas mesyuarat di ibu pejabat di sini semalam.

Pada masa sama, spekulasi mula melanda apabila pengurus Sevilla, Jorge Sampoli dikaitkan dengan jawatan ini biarpun dia tidak berminat untuk kembali melatih skuad kebangsaan selepas membawa Chile menjuarai Copa Amerika 2015.

Argentina kini semakin terdesak apabila kapten pasukan, Lionel Messi digantung empat perlawanan gara-gara memaki pengadil pada aksi bertemu Chile sebelum ini.

Juara Piala Dunia dua kali itu berada di tangga kelima bagi saingan Kumpulan Amerika Selatan yang mana hanya empat pasukan terbaik sahaja akan mara ke peringkat akhir.

Empat negara daripada sepuluh kumpulan akan layak ke final tahun hadapan, manakala pasukan kelima akan bermain secara play-off bertemu Zon Oceania.

Di bawah bimbingan Bauza, Argentina mencatat tiga kemenangan, dua seri dan dua kalah dalam aksi kelayakan itu bagi mengumpul sebanyak 22 mata.

Empat lagi baki perlawanan Argentina bakal bertemu Uruguay dan Venezuela pada Ogos ini manakala menentang Peru serta Ecuador pada Oktober depan.

Brazil berada di kedudukan teratas dengan 33 mata, Colombia (24) manakala Uruguay dan Chile berkongsi 23 mata untuk berada di tangga keempat. – MalaysiaGazette