Gol pembukaan Andros Townsend, diraikan rakan sepasukannya Wilfred Zaha dan Yohan Cabaye setelah menundukkan Arsenal 3-0 dalam aksi EPL di Selhurst Park awal pagi tadi. foto: the Sun

ENGLAND – Apa sudah jadi dengan the Gunners?

Itu reaksi daripada permainan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park awal pagi tadi.

Arsenal yang bertandang ke Selhurst Park dikejutkan 3-0 oleh Crystal Palace.

Ia sekaligus meletakkan peluang Arsenal yang bergelut di bawah pengurusan Arsene Wenger untuk menamatkan musim di empat tangga teratas liga dalam risiko.

Arsenal kini tujuh mata di belakang empat pasukan teratas untuk mengejar kelayakan ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Barisan Jurulatih termasuk Arsene Wenger sendiri terkejut selepas Arsenal dibolos tiga gol dalam aksi penting mengejar empat tangga teratas EPL awal pagi tadi.Foto: the Sun
Barisan Jurulatih termasuk Arsene Wenger sendiri terkejut selepas Arsenal dibolos tiga gol dalam aksi penting mengejar empat tangga teratas EPL awal pagi tadi.Foto: the Sun

Dengan berbaki lapan perlawanan lagi, Arsenal memulakan aksi dengan baik namun kekebalan Crystal Palace di bahagian pertahanan menyebabkan Arsenal tidak dapat membuka jaringan.

Crystal Palace mengejutkan pelawat menerusi gol pembukaan pada minit ke-17 menerusi Andros Townsend.

Walaupun Arsenal cuba bangkit menyamakan kedudukan, segalanya tidak menjadi berikutan kekebalan the Eagles di bek pertahanan.

Di babak kedua, Arsenal sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua Crystal Palace menerusi Yohan Cabaye pada minit ke-63.

Pada separuh masa kedua, Arsenal gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat di gawang gol pasukan tuan rumah berbanding tiga percubaan tepat di babak pertama.

Sebagai menambah penderitaan the Gunners, Crystal Palace melengkapkan permainan dengan gol ketiga yang juga kemenangan pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti.

Sepakan itu disempurnakan oleh Luka Milivojevic.

Luka Milivojevic
Luka Milivojevic

Kemenangan itu berjaya menyebabkan Crystal Palace keluar dari zon penyingkiran liga musim ini.

Kekalahan agak memalukan oleh Arsenal menyebabkan kebanyakan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan mendesak Arsene Wenger meninggalkan kelab itu segera.

Kini Arsenal kekal di tangga keenam dengan 54 mata, tiga mata di belakang Manchester United yang menduduki tangga kelima.

Wenger 67, sudah menghadapi tentangan daripada penyokong kelab itu supaya berundur.

Kontrak Wenger tamat pada akhir musim ini dan kelab telah menawarkan kontrak bertempoh dua tahun lagi walaupun pengurus kelahiran Perancis itu masih belum menyatakan kata putusnya.

Arsenal telah menguasai 72 peratus permainan di atas padang dalam perlawanan pagi tadi.

The Gunner kebal di bek pertahanan setiap kali the Eagles melakukan serangan balas.

Namun setiap serangan Arsenal ditepis penjaga gol Palace, Wayne Hennessey.

Ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut untuk Arsenal di tempat lawan buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun dikendalikan Wenger. – MalaysiaGazette