Nurul Islam Mohamed Yusoff

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri perlu bertindak segera ke atas pasangan suami isteri bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang menggunakan nama orang kenamaan bagi mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa penipuan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, jika sindiket yang berselindung di sebalik agama dibiarkan, ramai akan tertipu dan menjadi mangsa.

“KDN kena segera buat siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pasangan ini.

“Sepatutnya pihak polis kena ambil tindakan segera sebab ia dah viral dan kalau kita biarkan berleluasa, lebih ramai akan tertipu, akan menjadi mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas himpunan Pemuda Pas di luar pekarangan akhbar Nanyang Siang Pau, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pasangan suami isteri “elit” yang dikenali Datuk G dan isterinya yang telah menggunakan agama Islam untuk menipu dan menghina agama Islam.

Ahad lalu, sekumpulan 700 pelabur, Amy Salmiah Dahlan dan ditemani bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R.Ramanan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Dang Wangi.

Ramanan berkata, mangsa turut menyerahkan bukti rakaman audio mengatakan tertuduh, Datuk Seri G.Gnaraja dan isteriya, Datuk Geethanjali menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam melakukan penipuan mereka.

Sehingga kini, sebanyak 20 laporan polis dibuat di balai polis yang sama.

Amy Salmiah merupakan antara 22,000 mangsa penipuan berkenaan yang didakwa melibatkab pelaburan wang sebanyaj RM80 hingga RM110 juta. – MalaysiaGazette