Abdul Hadi, Tuan Ibrahim gandingan mantap Pas selepas golongan profesional tersingkir

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mengumumkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding kerana tiada pencalonan untuk jawatan tertinggi dalam parti itu yang tamat hari ini.

Malah menurut Setiausausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, jawatan timbalan presiden yang disandang Datuk Tuan Ibrahim juga kekal dan tidak dipertanding bagi pemilihan kali ini.

“Setelah pencalonan ditutup, jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden dan timbalan presiden telah dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang.

“Manakala terdapat lima calon untuk Jawatan naib presiden termasuk tiga penyandang sebelum ini dan 40 orang telah dicalonkan untuk Jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat untuk dipilih oleh perwakilan seramai 18 orang,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Pemilihan Pas bakal berlangsung di Kedah penghujung bulan ini hingga 1 Mei 2017 akan memilih barisan kepimpinan yang baru bagi sesi 2017/2019 untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke- 14.

Maka dengan itu, hanya jawatan naib presiden yang dipertandingkan selain ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat.

Antaranya tiga penyandang sedia ada Datuk Mohd. Amar Abdullah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad.

Sementara dua lagi pencabar terdiri daripada Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan dan Takiyuddin sendiri.-MalaysiaGazette