Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli satu pembohongan.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu dakwaan itu juga memperlihatkan kejahilan Rafizi dalam soal dosa dan pahala.

“Sebagai seorang Islam, itu satu tuduhan yang bohong, 300 peratus bohong. Kita anggap dia jahil, tidak tahu dosa pahala kepada saya. Kesalahan dia dengan saya, saya maafkan kerana dia tak tahu.

“Ada pun dia dengan tuhan, dia kena bertaubat,” katanya ketika ditemui wakil media dalam majlis sambutan kepulangannya sempena pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini lewat malam tadi.

Sebelum itu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mendakwa ada bukti menunjukkan seorang bekas pemimpin Pas yang rapat dengan kepimpinan menjadi penerima wang 1MDB yang disalurkan kepada Pas.

Ahli Parlimen Pandan itu membuat dakwaan berkenaan selepas sesi Dewan Rakyat ditamatkan sebaik sahaja pembentangan Rang Undang-Undang 355 dibentang Abdul Hadi pada Khamis lepas.

Rafizi dikatakan akan mendedahkan nama individu berkenaan tidak lama lagi.-MalaysiaGazette