C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR – Isu pindaan dalam garis panduan pembangunan rumah ibadah bukan Islam di Selangor mengejutkan semua pihak khususnya dalam kalangan masyarakat India.

Exco Negeri Selangor,  Datuk Teng Chang Khim dibidas atas kesilapannya membenarkan semakan semula pada klausa pembinaan rumah ibadah bukan Islam di negeri tersebut.

Walaupun Chang Kim memohon maaf secara terbuka kepada awam dan bertanggungjawab penuh ke atas kesilapannya itu namun kesilapan  itu didakwa menyentuh soal sensitiviti.

“Saya terkejut bagaimana Chang Khim boleh terlepas pandang dan tidak memeriksa pindaan (binaan rumah ibadah bukan Islam) itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa DAP mempunyai pemimpin sangat lemah dalam parti dan pentadbiran negeri Selangor.

“Bukan sahaja DAP, tetapi keseluruhan kerajaan negeri Pakatan Harapan perlu bertanggungjawab atas kesilapan yang berlaku itu,” bidas Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk C. Sivarraajh dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR sambil meminta kenapa mereka membisu dan tidak mengecam kesilapan yang dilakukan oleh Chang Khim.

Sivarraajh merangkap Penasihat Khas Menteri Besar Perak juga mendesak DAP supaya mengambil tindakan disiplin ke atas Chang Khim.

“”DAP kenapa tidak berani kutuk tindakan Chang Khim. Sila ambil tindakan disiplin ke atas pemimpin itu atau adalah lebih baik beliau berundur dari jawatannya sebagai exco dengan segera,” tegasnya.

Garis Panduan berkaitan pembinaan rumah ibadat bukan Islam berkuatkuasa pada Januari lalu itu.

Kebanyakan klausa dalam pindaan itu disifatkan telah diketatkan dan tidak berada dalam semangat kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Garis Panduan Selangor memasukkan cadangan bahawa tempat rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina dalam lingkungan 50 meter dari tempat tinggal atau kediaman komuniti Islam.

Garis panduan itu juga mencadangkan bahawa ketinggian rumah ibadat bukan Islam wajib rendah daripada masjid yang terletak berhampiran kawasan itu.

Mana-mana pembinaan seumpama (rumah ibadat bukan Islam) di kawasan mempunyai penduduk berbilang kaum memerlukan persetujuan penduduk dalam radius 200 meter. -MalaysiaGazette