Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 20 laporan ke atas akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang menyiarkan karikatur monyet pakai serban.

Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang menyiasat semua laporan yang diterima mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Kementerian Dalam Negeri hari ini memberi surat tunjuk sebab terhadap tindakan Nanyang Siang Pau itu.

Mereka diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat yang dikeluarkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Setakat ini 20 laporan polis diterima polis, kami akan siasat isu itu.

“Saya berharap rakan-rakan media supaya lebih sensitif dan jangan menimbulkan apa-apa bentuk penulisan atau lukisan yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” tegasnya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Mengenai perkembangan kes kehilangan senjata api, Khalid menegaskan, seramai 12 suspek telah ditahan untuk disiasat dalam isu berkaitan sehingga kini.

“Kita akan memastikan segala senjata dan aset polis dilindungi, dan kesemua suspek akan didakwa di mahkamah,” jelas beliau.- MalaysiaGazette