SEMALAM saya diarah membuat liputan lawatan kerja Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari di Petaling Jaya.
Rutinnya untuk ke pejabat atau ke majlis di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Subang Jaya dan daerah-daerah dalam Selangor, saya hanya bermotosikal. Inilah satu-satunya kenderaan yang saya gunakan. Ia cepat, pantas dan lagi menjimatkan.
Tetapi, memandangkan keadaan cuaca tidak elok hari itu – hujan renyai yang memungkinkannya menjadi lebat – saya memilih untuk meneruskan perjalanan ke Desa Mentari dengan pengangkutan awam sahaja, komuter.
Untuk sampai ke destinasi itu, saya perlu naik komuter di Stesen Shah Alam dan turun di Stesen Seri Setia. Selepas itu sambung pula perjalanan dengan teksi.
Sebenarnya jarak rumah saya dengan lokasi PPR Desa Mentari tidaklah jauh sangat. Sekitar 20 kilometer sahaja tetapi jika diteruskan dengan menunggang motosikal, boleh lencun pakaian kerja saya.
Sampai di Stesen Seri Setia, perkhidmatan teksi tidak ada. Saya kena berjalan kaki keluar dari kawasan itu sejauh kira-kira 200 meter. Di situ banyak teksi lalu lalang. Beri isyarat tangan saja, teksi akan berhenti ambil.
Alhamdulillah selepas lima minit berdiri di tepi jalan dalam keadaan hujan rintik ketika itu, saya dapat menahan sebuah teksi dan memberitahu pemandunya, yang saya mahu (pergi) Blok 6, PSJ 6, Desa Mentari.
Pemandu teksi itu seorang muslim atau lebih tepat saudara baru. Dia orang India yang bertauhidkan Islam. Usianya dalam lingkungan awal 60-an. Dia memakai kopiah, dalam teksinya wangi dengan minyak atar (bukan colok) dan wajahnya juga nampak jernih.
Menariknya sepanjang 10 minit perjalanan, saya dihidangkan lagu Melayu nyanyian penyanyi 60-an, Sanisah Huri.
Mulanya saya sangka lagu itu dari radio, tetapi rupanya ia koleksi lagu Melayu lama yang telah di ‘download’ dan dimasukkan dalam pemacu pena.
Wah!!! peminat lagu Melayu lama rupanya pakcik ini. Saya tumpang seronok kerana kebetulan lagu itu juga berkumandang ketika saya masih kecil di sekitar pertengahan 60-an hingga 70-an.
Tambahan pula Sanisah Huri adalah penyanyi pujaan hati yang tak pernah padam dari ingatan. Kalau dengar saja lagunya, maka tergambarlah kenangan lama.
Terbaik sungguh pakcik ini. Dia menjanjikan perjalanan yang menyeronokkan kepada setiap penumpangnya, selain jujur dalam urusan tambang menambang.
Perjalanan saya dari Seri Setia ke Desa Mentari mengambil masa kira-kira 10 minit. Jaraknya sekitar dua kilometer dan tambangnya RM4.50.
Sampai di destinasi, saya hulur not RM10. Pakcik itu pulangkan balik wang baki RM5.50. Itu pun dia nak turunkan saya sampai ke pintu dewan tapi saya mahu turun jauh sikit dari tempat majlis itu.
Sementara tunggu Noh habis berucap, saya menyanyi-nyanyi lagu Sanisah Huri yang dipasang dalam teksi pakcik tadi. Saya bernyanyi dengan lirik yang ditokok tambah sendiri sebab sudah lupa senikatanya. Tapi iramanya tetap ikut tempo.
Selepas majlis selesai, saya pun berjalan keluar dari Blok 6 PPR Desa Mentari dan menahan sebuah teksi untuk ke Stesen Komuter Seri Setia.
Berhentilah sebuah teksi yang dipandu seorang Melayu. Abang ini juga memakai kopiah seperti pakcik muslim tadi. Saya tidak tahu adakah memakai kopiah ini satu trend bagi pemandu teksi atau suatu kebiasaan. Saya malas nak fikir soal ini.
Perjalanan ke Stesen Komuter Seri Setia hanya mengambil masa lima hingga tujuh minit sahaja. Laluan pulangnya tidak perlu menempuh tiga lampu isyarat seperti mula-mula tadi, manakala kenderaan lain ketika itu pun tidak banyak. Maknanya lancar.
Sebaik sampai saya pun bayar tambang seperti yang tertera pada meter, iaitu RM4.25. Saya hulurkan kepadanya not RM10.
Selepas itu dia pulangkan balik wang baki sebanyak RM5 dan terus pergi meninggalkan kawasan Stesen Komuter Seri Setia. Saya ketika itu terpinga-pinga. Tertanya-tanya, adakah abang Melayu itu lupa hendak serahkan baki 75 sen lagi? Sepatutnya saya terima RM5.75.
Mungkinkah abang teksi itu beranggapan, “Alahh… setakat baki sen-sen ni kira halal sahajalah..” atau dia guna sistem penggenapan tapi takkan 75 sen digenapkan RM1. Sistem apa yang dia pakai?
Saya tidak kisah kalau dia tidak mahu pulangkan baki 75 sen itu kalau dia beritahu tidak ada duit kecil atau minta dihalalkan tapi saya amat kisah dan pandang serius kalau dia buat diam, seolah-olah dia tidak ada hutang dengan pelanggan.
Sambil berjalan ke kaunter tiket komuter, saya berpaling sekali lagi ke belakang, masih kelihatan bayang-bayang teksi tadi bergerak menyusur jalan raya.
Fikiran saya ketika itu padat dengan persoalan dan tanda tanya, terutama sikap jujur pakcik tadi dengan perangai haloba abang ini.
Saya bertanya kepada diri sendiri, pakcik muslim tadi tak ambil pun baki 50 sen. Dia hanya ambil hak dia, RM4.50. Selebihnya RM5.50 dia pulangkan balik kepada penumpang.
Abang Melayu ini bukan sahaja ambil haknya RM4.25, tapi baki penumpangnya 75 sen pun dia kebas lagi. Pelahap betul.
Pasal 75 sen pun mahu bising ka? Bukan soal bising, soal kalut. Sikap jujur yang kita nak tengok. Kalau tambang RM5, tiba-tiba pemandu itu secara jujur dan ikhlas minta penumpang bayar RM10, kita tetap akan bayar.
Tak kisah pun setakat RM10. Kita akan berfikir positif lagi… ahhh!!.. mungkin ada sebablah tu dia minta sebanyak itu. Kita anggap sedekah saja.
Sebab itu, sikap jujur adalah penting. Kita keluar rumah setiap hari dengan niat untuk mencari rezeki halal, untuk sesuap nasi kepada isteri dan anak-anak. Seboleh-bolehnya kita tidak mahu rezeki kita menjadi haram hanya kerana sikap haloba kita.
Kepada pakcik-pakcik dan abang-abang teksi, kisah ini bukan berlaku kepada semua pemandu. Ia mungkin terjadi pada abang itu sahaja. – MalaysiaGazette