Ismail Sabri Yaakob menunjukkan komputer riba terpakai yang dijual oleh peniaga bazar MARA selepas majlis perasmian bazar itu di Semenyih. foto SAFWAN MANSOR, 13 APRIL 2017.

SEMENYIH – Majils Amanah Rakyat (MARA) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn. Bhd. di Melbourne, Australia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya juga sedia tampil mengemukakan dokumen yang diperlukan sekiranya ada bukti dan fakta terbaharu mengenai penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam proses pembelian hartanah tersebut.

Tegas beliau, MARA akan memanggil mana-mana pegawai yang diperlukan SPRM bagi memberi keterangan berhubung hal itu.

“Walaupun ada gesaan kepada kita untuk dedahkan dokumen berkaitan kepada umum, kita tidak akan berbuat demikian.

“Kita tidak mahu ia mengganggu siasatan SPRM. Tetapi, kalau SPRM minta (dokumen), kita tiada masalah dan kita akan beri.

“Kalau sampai dedahkan secara terbuka kepada umum, ia cuma akan mencetuskan bibit spekulasi sehingga mengganggu siasatan SPRM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar MARA Semenyih di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab Manas mahu SPRM membuat siasatan lanjut ekoran penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hartanah oleh Mara Incorporated di Australia dengan sebuah syarikat tidak aktif.

Menurut Adzly, pihaknya sedia menyerahkan bukti terbaharu itu sekiranya diperlukan.

Pada 26 Jun tahun lalu, Pengerusi MARA yang kini sedang bercuti, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan pelbagai dokumen kepada SPRM berkaitan pembelian pangsapuri oleh Mara Incorporated di Australia. – MalaysiaGazette