Najib Razak (tengah) meninjau kemudahan kediaman di) ketika melawat Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2017.

SENDAYAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa puas hati terhadap perkembangan terkini pembinaan Pangkalan Udara Sendayan di sini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin berkata, perasan itu dikongsi selepas Najib turun meninjau sendiri dan mendengar taklimat yang diberikan hari ini.

“Saya tengok beliau cukup puas hati kerana semua tahu Perdana Menteri telah menjadi serangan sasaran selama ini.

“Apabila kesabarannya tidak melayani serangan itu kadang-kala ia tidak berasas dan Perdana Menteri turun sendiri lihat apa yang beliau lakukan, orang kata berbaloilah sabar selama ini ketika berdepan dengan kritikan yang kita tahu akhirnya kita boleh jawab.

“Hari ini banyak persoalan yang dapat dijawab apabila Perdana Menteri secara peribadi terbuku di hatinya meluahkan rasa cukup puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Selain Hishammuddin, Najib turut ditemani Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, projek pembinaan Pangkalan Udara Sendayan, Seremban kini sedang rancak dijalankan dan setakat ini telah 80 peratus siap.

Beliau berkata, mengikut perancangan, pangkalan udara baharu ini dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini dan mula beroperasi awal tahun depan.

Pangkalan udara baharu itu akan menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang dibina dengan 693 unit kuarters kediaman pelbagai kategori termasuk banglo, berkembar dua dan pangsapuri untuk pegawai dan anggotanya.

Projek membangunkan Pangkalan Udara Sendayan itu dimulakan pada 2013 dan dirancang untuk dijadikan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.

Pangkalan Udara Sendayan juga bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan akan menghimpunkan kesemua tiga pusat latihan TUDM di Subang dan Kinrara, Selangor dan Pulau Pinang untuk berada di bawah satu bumbung.

Fasiliti yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban itu bagaimanapun tidak mempunyai landasan penerbangan kerana ia tidak melibatkan operasi penerbangan.

Pembangunan Pangkalan Udara Sendayan yang berkeluasan tiga kali ganda daripada saiz fasiliti sedia ada, merupakan sebahagian daripada rancangan penyusunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, yang akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia. – MalaysiaGazette