Warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29 yang lengkap berpakaian baju kalis peluru diiringi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dibawak ke Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 APRIL 2017

SEPANG – Mahkamah Sesyen Sepang hari ini menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes pertuduhan pembunuhan Kim Jong-nam.

Hakim Harith Syam Mohamad Yasin berkata, tarikh itu ditetapkan disebabkan pihak pendakwaan meminta tempoh sebulan setengah untuk mengumpulkan bukti.

Muhamad Iskandar Ahmad berkata, pihak pendakwa masih mengumpul beberapa bukti antaranya beberapa dokumen daripada pelbagai agensi berhubung pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Terdahulu peguam kedua-dua tertuduh memohon agar bukti-bukti seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diberikan kepada mereka untuk proses pengumpulan bukti.

Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh Siti Aishah dan Doan Thi Huong faham akan pertuduhan dan hanya menundukkan kepala ketika pertuduhan dibacakan buat kali kedua kepada mereka.

Kedua-dua tertuduh yang diiringi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Sesyen Sepang pada pukul 7.55 pagi. – MalaysiaGazette