Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada Program Sesi Soal Jawab #FELDA100HARI anjuran Barisan National Youth Volunteers (BNYV) di Pitching Centre, Platinum Sentral, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit yang ditanggung agensi tersebut hampir RM1 bilion sejak tahun 2015 dan mahu mengembalikan matlamat asal membela nasib peneroka.

Shahrir menjelaskan, perbelanjaan yang ditanggung oleh FELDA melebihi pendapatan sebagai punca kepada defisit ditanggung walaupun memperoleh keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan agensi tersebut.

“Kalau lihat kepada perniagaan FELDA ini, maknanya pendapatan yang diperoleh daripada yang diusahakan di tanah-tanah kosong peneroka, maknanya direct business  daripada segi itu memang kita untung.

“Tapi daripada segi pendapatan atau penerimaan tolak perbelanjaan, kita tetap berdefisit, defisitnya setiap tahun sebilion lebih, pada tahun 2016, RM1 bilion dan pada tahun 2015 juga RM1 bilion,” katanya semasa sesi forum anjuran Barisan Nasional Youth Volunteers (BNVY) di KL Sentral malam tadi.

Walaupun menghadapi defisit, Shahrir menegaskan, perbelanjaan tersebut sebenarnya digunakan bagi program-program yang dikendalikan oleh FELDA khususnya untuk peneroka.

“Ia mungkin defisit, mungkin FELDA meniaga rugi, ini bukan kerana perniagaan tetapi daripada segi perbelanjaan untuk mengisi program-program segala yang nak kita lakukan dan telah kita lakukan,” terang beliau.

Beliau juga menyentuh berhubung FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dimana pada asal penubuhannya untuk membentuk sebuah institusi pelaburan seperti Khazanah, bagaimanapun ia tidak memberikan pulangan seperti yang diharapkan.

“FIC diberikan modal untuk berniaga, setakat ini RM2 bilion masuk dalam harta FIC, pulangannya tak seberapa kepada FELDA kerana perniagaan yang boleh memberikan pulangan itu ianya banyak kena perhatikan lah.

“Dan dalam transformasi FELDA pun, untuk menjadikan FELDA bukan sahaja terlibat dalam kebun peneroka tetapi menjadi sebuah organisasi seperti Khazanah umpamanya iaitu investment
holding tapi semuanya meninggalkan kesan tidak ada pulangan,” katanya.

Oleh yang demikian, Shahrir yang dilantik sebagai pengerusi baharu pada Januari lalu berkata, untuk memastikan sasaran itu dicapai, FELDA perlu fokus kembali kepada pelaburan sedia ada.

“Jadi hari ini kita berdepan kalau kita nak kurangkan defisit atau pun mengatasi masalah defisit, tahun lepas saya tengok defisitnya dikatakan mungkin RM900 juta, jadi pada saya ini bil tahun lepas, maknanya RM900 juta, bawa ke depan ia kena tolak tunai di tangan pada awal tahun baharu jadi RM800 juta.

“Bermakna kena berdepan dengan soal defisit ini dan apa yang boleh kita lakukan, kita sudah dapat persetujuan bahawa kita readjust kepada pelaburan yang sedia ada,” katanya lagi.

Keadaan defisit tersebut bagaimanapun tidak bermakna FELDA dalam keadaan tenat seperti didakwa setengah pihak sebaliknya mereka memiliki aset yang masih besar berjumlah kira-kira RM22 bilion.

“Aset FELDA ada RM22 bilion, maknanya aset banyak tetapi current asset ialah mungkin dalam lingkungan RM3 bilion lebih, non-current asset seperti hartanah, bangunan dan sebagainya adalah selebihnya, maknanya kita bukan dalam keadaan yang tenat,” katanya.

Antara langkah diambil FELDA untuk mengukuhkan kewangannya adalah dengan menumpukan kepada tanggungjawab asasi agensi itu dan mempertimbangkan untuk menjual aset seperti hotel dan tanah yang dibeli tapi tidak dibangunkan, kata Shahrir.

“Kalau hotel di London, Bayswater, saya pun tak pernah pergi dan bila saya pergi ke rancangan FELDA saya tanya sesiapa yang sudah pergi, ada dua orang sahaja angkat tangan, yang lain tidak pergi pun.

“Maknanya aset ini tak relevan kepada peneroka, jadi saya dalam proses nak menjual hotel ini, ada ejen yang sudah kita lantik.

“Kita masih ada saham yang disenaraikan di bursa yang boleh kita jual, kita ada tanah yang boleh dijual, tanah yang dahulu kita beli 10 tahun lalu fikir nak buat macam-macam tapi tak terbuat dan tidak jadi perancangan, itu pun boleh dijual.

“Apa yang saya nak laksanakan pada tahun ini ialah tidak ada defisit dan supaya kita benar-benar boleh fokus kepada tugas dan peranan asasi kita,” katanya. – MalaysiaGazette