Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan daripada peguam dua suspek pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam untuk mendapatkan sebarang dokumen mahupun rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ujarnya, sehingga kini tiada sesiapa pun yang berbuat demikian malah untuk berbuat demikian, individu terbabit harus membuat permohonan rasmi menerusi mahkamah.

“Sekiranya ia telah dibuat seperti yang didakwa amat mustahil pihak polis tidak mengetahui mengenai permohonan tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Awal hari ini, peguam dua suspek pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un itu membuat kenyataan bahawa mereka tidak boleh meneruskan proses pembelaan kerana tidak mempunyai bukti berkaitan pembunuhan berkenaan.

Malah mereka turut menuduh pihak pendakwa raya enggan memenuhi permintaan mereka untuk mendapat rakaman CCTV dan dokumen berkaitan kes berprofil tinggi itu.

Ini termasuk bukti keterangan keempat-empat suspek warga Korea Utara oleh polis.

Sehubungan itu, kata Khalid, pihaknya masih menunggu pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahkan keempat-empat suspek tersebut yang masih berada di Pyongyang, Korea Utara.

Peguam Siti Aishah, Gooi Soon Seng berkata, pihaknya kini mendapatkan bukti daripada pihak berkuasa berhubung sesi keterangan tiga suspek warga Korea Utara kes pembunuhan itu. – MalaysiaGazette.