AFGHANISTAN – Tentera Amerika Syarikat menggunakan 9,800 kilogram (21,600 pound) bom untuk meletupkan kompleks terowong yang digunakan oleh militan di negara ini.

Amerika Syarikat menggunakan GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast Bomb (MOAB) juga dikenali ‘ibu segala bom’ adalah bom bukan nuklear untuk serangan itu.

Pentagon berkata, bom-bom itu dijatuhkan daripada pesawat Amerika Syarikat pada sebelah petang di Achin dekat wilayah Nangarhar.

Letupan itu dibuat selepas beberapa jam Pentagon mengakui serangan udara di Syria yang membunuh 18 orang tersilap.

Katanya, sekutu tentera telah tersilap mengenal pasti sasaran lokasi kedudukan militan IS.

Bom berkenaan pertama kali diuji pada tahun 2003 tetapi tidak pernah digunakan dalam serangan sebelum ini.

“Kami sasarkan pengeboman di sistem terowong dan gua-gua yang digunakan oleh ISIS untuk bergerak dalam mensasarkan tentera Amerika Syariikat dan Afghanistan yang berada di kawasan berkenaan,” kata Sean Spicer, Setiausaha Akhbar White House.

Beliau merujuk ISIS bagi nama lain untuk IS.

Katanya, kawasan yang dijatuhkan bom itu bergunung-ganang dan terpisah daripada komuniti.

Letupan itu dikatakan cukup kuat sehingga gegarannya boleh didengar di dua daerah.

Setakat ini, Amerika Syarikat belum memaklumkan hasil serangan itu tetapi pegawai tempatan berkata, ramai militan IS terbunuh.

Donald Trump pula menyifatkan serangan itu sebagai ‘satu lagi tugas yang berjaya’. – MalaysiaGazette