Rafizi Ramli. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa bahawa Rafizi memfitnah beliau.

“Saya tak mau (tidak mahu) komen, nantilah (saya ulas),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehari selepas membuat pendedahan bahawa Nasharuddin sebagai individu yang menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia dilakukan Rafizi dalam akuan bersumpahnya mendedahkan Nasharudin telah menerima dana 1MDB melalui akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maklumat itu diperoleh Rafizi daripada seorang bekas pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan berhubung dakwaan salah guna dana 1MDB.

Nasharudin hari ini mengeluarkan kenyataan beliau menafikan tuduhan Rafizi bahawa ada menerima sebarang bentuk dana daripada anak syarikat 1MDB.

Malah Nasharudin turut menegaskan segala tuduhan Rafizi yang melibatkan beliau adalah tidak ada kaitan dengan dirinya dan bekas partinya Pas. – MalaysiaGazette.