Home Utama Ahmad Zahid nafi minta mansuh sekolah pelbagai aliran

Ahmad Zahid nafi minta mansuh sekolah pelbagai aliran

KUALA KANGSAR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan beliau tidak pernah menyarankan supaya sekolah pelbagai aliran di negara ini dimansuhkan.

Beliau sebaliknya berkata kurikulum sekolah pelbagai aliran perlu diperkukuh agar perpaduan nasional dapat dimantapkan terutama dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Dasar Pelajaran Kebangsaan sebut dengan jelas bahasa ibunda hendaklah digalakkan di sekolah rendah tetapi dengan menyatukan kurikulum agar perpaduan nasional dapat dicapai,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspresi Negaraku peringkat Kuala Kangsar di Dataran Pavillion di sini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ser Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataannya yang menyarankan sistem pendidikan negara perlu dikaji semula bagi mewujudkan perpaduan nasional kerana kaedah sekarang terutama dengan kehadiran sekolah pelbagai aliran menyukarkan berlakunya silang budaya dalam kalangan murid.

Semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan bertajuk Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara di Kuala Lumpur semalam, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata kewujudan sistem persekolahan pelbagai aliran bermula dari peringkat prasekolah sehingga ke sekolah menengah merencatkan agenda perpaduan yang diinginkan.

Sehubungan itu, timbalan perdana menteri hari ini menjelaskan : Saya tidak pernah menyarankan agar hapus sekolah pelbagai aliran, jangan salah tafsir dengan kenyataan saya. – MalaysiaGazette