Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Malaysia, Datuk Seri Nadzri Siron (kiri) bergambar dengan sebahagian penerima lesen memandu pada Majlis Perasmian dan Penutup Program MyPrihatin di Dewan Komuniti Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 15 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Penerima lesen memandu percubaan B2 di bawah MyPrihatin JPJ terharu kerana berpeluang mendapat kemudahan itu pada kadar yang minimum.

Mengakui tidak mampu untuk membayar kadar sebenar yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan untuk lesen B, MyPrihatin JPJ umpama rezeki yang ditunggu-tunggu oleh para peserta program tersebut.

MyPrihatin JPJ yang dilancarkan pada tahun ini dikhususkan kepada golongan miskin bandar- satu lagi bantuan kerajaan untuk membantu kelompok itu mendapat kemudahan tersebut.

Mohamad Tompang
Mohamad Tompang

Seorang pesara, Mohamad Tompang, 69, mengakui telah menunggang motosikal lebih 30 tahun tanpa lesen kerana tidak mampu membayar untuk mendapatkan lesen.

Katanya, kadar yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM350 untuk lesen B2 tidak mampu dibiayainya.

“Kalau gagal dalam ujian bertulis dan praktikal, wang tidak dikembalikan. Jadi saya tidak sanggup untuk mengeluarkan wang sebanyak itu.

“Apabila diberi kesempatan untuk menyertai program ini, tanpa fikir panjang saya terus daftar nama. Alhamdulillah saya sudah ada lesen sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Misyati Ismail
Misyati Ismail

Suri rumah, Misyati Ismail yang mula menunggang motor sejak muda juga tidak pernah mempunyai lesen.

“Walaupun tidak memiliki motor sendiri, tetapi saya biasa membawa motor di kawasan berdekatan rumah.

“Apabila kawan bagitahu ada program MyPrihatin JPJ, saya bergegas pergi daftar. Tak sangka lulus. Lepas ni makcik tak takut lagi untuk tunggang motor apabila terserempak dengan kereta polis,” ujarnya.

Joshua Moses Aruldass
Joshua Moses Aruldass

Seorang remaja, Joshua Moses a/l Aruldass pula berterima kasih kepada JPJ kerana memperkenalkan program itu kepada keluarga berpendapatan rendah.

“Kadar biasa memang mahal dan saya sendiri pada awalnya khuatir jika gagal dalam ujian-ujian yang diadakan.

“Tetapi kakitangan JPJ banyak membantu sehingga saya lulus semua ujian yang dijalankan,” tambahnya.

Muhammad Firdaus Muhammad Samsol
Muhammad Firdaus Muhammad Samsol

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Firdaus Muhammad Samsol, 16, turut gembira kerana sudah mempunyai lesen B2.

Pelajar Sekolah Menengah Padang Tembak itu yang kini membonceng motosikal milik rakanny ke sekolah berazam untuk menabung supaya dapat memiliki motorsikal sendiri pada suatu hari nanti.

“Saya gembira bila sudah ada lesen motor. Terima kasih kepada JPJ,” katanya. – MalaysiaGazette