Najib Razak bersalaman dengan peserta Kongres Budaya 2017 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. foto SAFWAN MANSOR, 15 APRIL 2017.

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa supaya sekolah aliran Cina dan India menekankan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya bagi memastikan mereka dapat menguasai bahasa kebangsaan itu dengan baik.

Najib berkata, perjuangan bahasa Melayu adalah penting kerana ia merupakan instrumen penting dalam memelihara perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang hidup di Malaysia dan merupakan jati diri negara kita.

“Generasi baharu sama ada Cina ke, India ke, sampai Ulu ke, ke Kelabit ke, cakap lah dengn baik bahasa kebangsaan kita.

“Ini kita perlu perjuangkan, kalau dia masuk sekolaj aliran Cina dan India pun dia kena cakap bahasa Melayu dengan baik, ini bahasa kita bahasa perpaduan kita, jati diri kita,” kata beliau semasa melancarkan Kongres Budaya di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Namun, ia tidak bermakna kerajaan menghalang mereka untuk bertutur dalam bahasa sendiri malah mengalakkan mereka untuk menguasai bahasa masing-masing tanpa sebarang sekatan.

“Tapi kita tidak halang malah mengalakkan lagi penguasaan bahasa kedua dan ketiga sebab kita mahukan orang Melayu dan bangsa Malaysia kita ini jati dirinya kukuh,” kata beliau.’

Oleh yang sedemikian, Najib menggesa supaya bahasa Melayu diperkukuhkan supaya menjadi bahasa perpaduan dalam menyatupadukan rakyat di Malaysia.

“Dalam soal ini untuk memperkukuh dan menjadikan bahasa Melayu sebagai suatu bahasa yang penting di Malaysia, ianya harus dijadikan sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Untuk itu saya menyarankan supaya badan-badan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu diberikan ruang yang lebih luas dalam memastikan bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam setiap urusan harian,” katanya. – MalaysiaGazette