KUALA LUMPUR – Bapa penyanyi Aiman Tino kesal dengan dakwaan pihak yang menuduhnya meletakkan harga tinggi kepada penganjur jika ingin mengundang anaknya mengadakan persembahan.

Yusri Ishak, 48, yang menyangkal dakwaan itu menyatakan beliau sangat terbuka tentang soal bayaran bergantung kepada perbincangan kedua belah pihak, lapor sebuah laman portal.

Bagaimanapun kata beliau, kebiasaannya keputusan mengenai harga ditentukan oleh syarikat pengurusan Aiman.

“Jika diikutkan semua urusan mengenai sebut harga kepada pihak penganjur yang ingin mengundang Aiman mengadakan persembahan kita serahkan kepada pihak pengurusan.

“Tetapi tuduhan mengatakan pihak kami mengenakan bayaran tinggi tidak benar malah Aiman baharu sahaja pulang daripada mengadakan persembahan di Alor Star, Kedah dan dia hanya dibayar RM1,500 sahaja.

“Malah kami ke sana menggunakan kenderaan sendiri dan bukannya menggunakan pesawat dan kalau benar kami meletakkan harga tinggi, persembahan di Alor Star itu kami tak ambil,” katanya seperti dilaporkan.

Dalam pada itu, Aiman berkata, dia meletakkan sepenuhnya kepercayaan berkaitan hal pengurusan, persembahan dan jadualnya kepada bapa dan pihak pengurusannya.

“Bayaran bukan saya tetapkan tetapi saya serahkan perkara itu kepada Ayah dan pihak pengurusan kerana kalau saya hendak letak harga sendiri pun, saya sendiri tidak tahu berapa.

“Saya pun masih baharu jadi saya ikut sahaja apa yang telah disusun untuk saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette