Dr.Zakir Naik Abdul Karim.

KUALA LUMPUR- Pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik menyifatkan tindakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mengkritik dirinya semata-mata kerana mengejar publisiti murahan.

“Saya rasa mereka buat untuk publisiti (begitu juga) ketika mereka (Hindraf) memfailkan kes terhadap kerajaan United Kingdom berjumlah USD4 trilion, mereka hanya mahukan publisiti.

“Sebenarnya bercakap pasal Hindraf hanya membazir masa. Saya hanya memberi publisiti kepada mereka jika saya layan,” katanya mengulas tindakan Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy yang mengkritik kehadirannya di Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah Bintang pahlawan Pribumi PERKASA oleh presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali.

Zakir yang juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada 2013 lalu, dilaporkan mendapat kerakyatan negara ini, menurut akhbar India.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menafikan laporan tersebut.

Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan Zakir juga diharamkan selama lima tahun selepas kerajaan India mengisytiharkan IRF sebagai ‘pertubuhan haram’ di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Haram.

Justeru, Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) membuka siasatan terhadap Zakir dan IRF atas tuduhan menghasut belia Islam negara itu melakukan keganasan dan mempromosikan kebencian antara agama dan kaum.– MalaysiaGazette