DUNGUN, 16 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kiri) menyampaikan replika kad bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Hashim Awang (kanan) selepas menyempurnakan majls pecah tanah Perumahan Idaman Rakyat di Kampung Santong, Paka hari ini. -- fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

DUNGUN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak memilih pakatan pembangkang yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin yang enggan melihat perkembangan Islam dan orang Melayu di negara ini.

Beliau berkata pembangkang sebenarnya hanya mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Matlamat mesti suci, cara pun mesti betul. Kalau cara tidak betul, ibadat kita tuhan tidak terima. Semua kena betul kalau cara tidak betul, kaedah tidak betul ibadat kita walaupun niat baik, tuhan tidak terima.

Dalam politik pun kena pegang prinsip Islam. Kalau dah tahu orang itu tidak suka perkembangan Islam di negara kita, kenapa pula kita nak bersekongkol dengan dia,” katanya ketika berucap melancarkan program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri Terengganu dan pecah tanah Rumah Idaman Rakyat (RIR) Kampung Santong, Paka di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Ahmad Azizi Ali.

Projek RIR, yang dibangunkan SPNB Idaman Sdn Bhd, melibatkan 229 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat, berkembar dua tingkat dan rumah kedai di kawasan seluas 26 ekar di Taman Desa Idaman, Kampung Santong.

Mengulas lanjut, Najib berkata UMNO sebaliknya sentiasa memperjuangkan syiar Islam sehingga mendapat pengiktirafan negara luar.

“Kalau orang kata dasar UMNO ini bersifat asabiyyah dan bertentangan Islam, sudah tentu Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud tidak akan benarkan nama baginda digunakan pada King Salman Centre for Global Peace (Pusat Keamanan Global Raja Salman),” kata beliau.

Perdana Menteri berkata selain memperjuangkan Islam, UMNO dan BN turut berusaha mengubah nasib rakyat bumiputera dan bukan bumiputera melalui pelbagai agenda ekonomi dan sosial termasuk membangunkan projek-projek perumahan untuk rakyat.

“Tetapi kalau orang yang berkuasa sebagai perdana menteri nanti, hati perutnya bukan nak membantu rakyat terutama di luar bandar, jangan harap, jangan mimpi, ini semua akan dapat dilaksanakan. Sedarlah bahawa hakikatnya kitalah (BN) kerajaan yang sebaik-baiknya untuk dipilih oleh rakyat,” kata beliau.

Selain itu, Najib turut melahirkan keyakinannya bahawa Terengganu akan terus dipimpin oleh kerajaan BN berdasarkan perkembangan semasa dan kegigihan pemimpin tempatan yang giat menjaga kebajikan rakyat.

Kemenangan di Parlimen Dungun juga boleh dicapai sekiranya ada perpaduan dalam kalangan tiga pemimpin kawasan itu tanpa adanya “cah keting” sesama pemimpin UMNO.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam, bekas Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Roslee Daud supaya menjaga perpaduaan jika mahu menakluki Parlimen Dungun dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sura, Bukit Besi, Paka dan Rantau Abang.

Jangan cah keting. Pastikan Anggota Jawatankuasa turun sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan PDM turun kepada Ketua Cawangan. Ketua Cawangan pula turun kepada Ketua kampung. Semua perlu dalam satu pasukan sebab kita kena tubuh kerajaan yang kuat kerana saya mempunyai visi yang besar untuk Malaysia, kata beliau.- MalaysiaGazette