Polis mengesahkan bumgkusan kain batik itu hanya ada sebotol minyak masak.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bungkusan yang ditemui berserta satu nota ugutan di sebatang pokok berhampiran kawasan letak kenderaan Wisma Bernama di sini bukan bom.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mendapati bungkusan kain batik itu hanya mengandungi sebotol minyak masak.

“Negatif (bukan bom),” katanya.

Pada 8.03 malam, Unit Pemusnah Bom itu memusnahkan bungkusan berkenaan dengan alat pemusnah selepas selesai melakukan siasatan menyeluruh di kawasan itu.

Unit berkenaan tiba di lokasi bersama-sama dengan Unit Anjing Pengesan IPK Kuala Lumpur pada 7.22 malam dengan enam anggota selepas menerima panggilan kecemasan daripada Unit Keselamatan Bernama.

Kira-kira 7.30 petang, dua ekor anjing pengesan di bawa ke lokasi penemuan bungkusan itu namun tiada tindak balas yang menunjukkan objek itu bom.

Bernama difahamkan sekiranya objek itu bom atau bahan letupan, anjing berkenaan akan mendekati objek tersebut.

Petang tadi, kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) gempar dengan penemuan bungkusan itu yang diletakkan di bawah sebatang pokok berhampiran kawasan letak kenderaan Wisma Bernama.

Bungkusan itu, yang dibaluti kain batik, disertakan dengan sekeping nota ugutan terhadap dua agensi kerajaan.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani ketika dihubungi memberitahu bahawa enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa diarah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada Bernama pada 5.33 petang.

Sementara itu, Ketua Syif Pengawal Keselamatan Bernama, Azahar Fathal, 49, berkata beliau dimaklumkan mengenai bungkusan itu daripada seorang petugas pembersihan pada 4.50 petang sebelum beliau ke lokasi berkenaan.

“Saya dapati ada satu bungkusan kain batik dan nota ugutan diletakkan di bawah sebatang pokok dekat tempat letak kereta Wisma Bernama,” katanya.

Selepas itu, beliau memeriksa rakaman kamera litar tertutup bagi melihat pergerakan di Jalan 1/65 A bagi tempoh awal pagi hingga petang tadi.

Beliau kemudian menghubungi pihak polis dan Balai Bomba dan Penyelamat berkenaan. – MalaysiaGazette

blob:https://web.whatsapp.com/7540660e-1346-42d8-aa2e-da9d1494fbff