SPRM

PUTRAJAYA  Seorang bookie yang direman sejak 7 April lepas berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan dengan jaminan tunai RM60,000 dan seorang penjamin.

Lelaki itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 April lalu selepas didakwa menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.

Tiga pemain kelab tersebut termasuk seorang pemain import Argentina turut ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 April dan dibebaskan pada 12 April lepas, manakala reman terhadap bookie terbabit disambung selama lima hari lagi sehingga hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali ganda nilai suapan dan penjara maksimum 20 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal sebelum ini mendapati pemain berkenaan menerima antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk mengatur perlawanan.

— BERNAMA