Syed Saddiq Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang sekali lagi dipersoalkan kerana tidak bertudung.

Beliau yang memuat naik status di Facebook menyelar tindakan sebuah laman portal yang mempersoalkan hal peribadi isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Bekas pendebat terbaik Asia itu turut menegaskan bahawa perbuatan tersebut jelas merupakan satu permainan politik kotor pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada usia 91 tahun ini beliau (Tun Siti Hasmah) bukan sahaja beramal untuk diri beliau sendiri malah, dia bersama-sama berjuang untuk kebaikan negara demi rakyat tetapi sesetengah pihak masih memainkan isu-isu peribadi, sangat judgemental dalam memberikan teguran seperti “tidak mungkin beliau akan secantik gadis yang berumur 20 tahun” ini bukan cara teguran yang terbaik.

“Saya secara rendah diri menasihati kamu untuk membayangkan seseorang berkata hal sama kepada ibu kamu sendiri, jika itu apa yang diambil untuk membesarkan suara hati,” tulisnya.

Beliau menjelaskan bahawa dirinya sendiri sedaya upaya cuba mengelak daripada menyentuh hal peribadi seseorang walaupun berbeza pegangan politik kerana ia adalah taktik murahan.

“Jika sekalipun ia datang kepada Datin Seri Rosmah, saya cuba sehabis baik saya untuk menjauhi daripada menyerang hal peribadinya (tidak bertudung).

“Tun Siti Hasmah berusia 91 tahun dan (beliau) masih berjuang untuk Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq turut menggesa pengarang portal itu melihat dirinya dalam cermin. – MalaysiaGazette