Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata satu daripada tugasnya sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Jawatan saya sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di JPM adalah membantu PM (perdana menteri) untuk bekerjasama rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

“Semua sedia maklum bahawa jawatankuasa pemantau Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dipengerusi oleh PM sendiri manakala Lembaga Penasihat Esszone dipengerusikan bersama TPM (timbalan perdana menteri) serta Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bacaan ikrar bebas rasuah sempena perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan (Mindef) 2017 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Dzulkifli Ahmad.

Pada perhimpunan bulanan itu, Hishammuddin turut menyampaikan sijil kepada lebih 400 penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang kepada warga Mindef.

Pada Rabu lepas, Najib mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di JPM.

Hishammuddin juga berkata beliau belum bersedia untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai tugas selebihnya sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di JPM.

Beliau turut meminta mana-mana pihak supaya jangan melaga-lagakan beliau dengan pemimpin tertinggi negara berikutan pelantikannya sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di JPM.

“Saya hendak mengesahkan sekali lagi supaya jangan cuba hendak melaga-lagakan kita kerana hubungan saya dengan pemimpin tertinggi negara sama ada di peringkat PM, TPM dan jemaah menteri sendiri cukup erat sekali.

“Saya tengok pihak-pihak ini memang ada agenda tersendiri yang tidak mahu lihat bahawa kita merapatkan barisan dan lihat kehadapan,” katanya.

— BERNAMA